FASA 8

Page: > PERLEMBAGAAN

JAWATANKUASA

  1. Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Pertubuhan hendaklah dipilih dua tahun sekali di dalam Mesyuarat Agung DwiTahunan: (a) Seorang (1) Pengerusi, (b) Seorang (1) Timbalan Pengerusi, (c) Seorang (1) Setiausaha, (d) Seorang (1) Penolong Setiausaha, (e) Seorang (1) Bendahari, dan (f) Tiga Orang (3) Ahli Jawatankuasa Biasa.
  2. Pemegang-pemegang jawatan Pegawai Pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.
  3. Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung DwiTahunan. Semua pegawai boleh dipilih semula dua tahun sekali.
  4. Fungsi Pegawai Pertubuhan ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agong. Pegawai Pertubuhan seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan Mesyuarat Agong dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Pegawai Pertubuhan mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Agong. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun yang lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agong.
  5. Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga (3) kali dalam setahun. Notis bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada Pegawai Pertubuhan tujuh (7) hari terlebih dahulu. Pengerusi dengan bersendirian atau tidak kurang daripada empat (4) orang Pegawai Pertubuhan yang lain bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.
  6. Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan Mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran Surat Pekeliling. Syarat-syarat mengenai seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa: (a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam Surat Pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli jawatankuasa, (b) Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap itu, dan (c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang didapati melalui Surat Pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada Mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan dalam minit.
  7. Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri Mesyuarat jawatankuasa tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai melakukan kesalahan dan telah meletak jawatan.
  8. Jika seorang ahli jawatankuasa meninggal dunia atau meletak jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhi kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agong didakan.
  9. Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai yang lain untuk menjalankan urusan Pertubuhan, dan melantik Pengurus dan Kakitangan yang difikirkan mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.
  10. Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa Kecil atau Kelab-kelab jika difikirkan mustahak dan memberikan Kewajipan Khas kepada sebarang ahli jawatankuasa.
  11. Jawatankuasa yang lama hendaklah menyerahkan semua Dokumen Pertubuhan seperti Sijil Pendaftaran, Perlembagaan Berdaftar, Salinan Penyata Tahunan, surat-surat maklumbalas, Buku-buku Akaun, Buku Bank, cek dan resit, geran-geran tanah, senarai aset dan sebagainya kepada jawatankuasa baharu.