Generasi Belia Pewaris Negara

Post Category: umum

Laporan Khas Utusan Malaysia

BELIA sering digambarkan sebagai kepimpinan masa depan yang bakal menjadi penentu kepada jatuh bangun bangsanya.

Bapa kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra pernah berpesan, “Bahawa dalam perjalanan sejarah manusia, tidak ada suatu bangsa pun yang boleh menyelamatkan dirinya jika bangsa itu berdiam diri memeluk tubuh selamanya”.

Malah, golongan aristokrat juga mengatakan, jika mahu melihat majunya sesebuah bangsa itu, lihatlah pada generasi mudanya.

Kata-kata itu terbukti apabila kemajuan negara yang dikecapi sekarang adalah hasil sikap proaktif generasi muda terdahulu yang menjadi tonggak penggerak bangsa.

Agenda pembangunan belia sememangnya merupakan satu agenda teras kerajaan.

Di Malaysia, agenda digarap dengan teliti berlandaskan kesedaran bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang muda.

Fakta itu jelas didokong oleh perangkaan di mana lebih 77 peratus daripada jumlah penduduk negara ini merupakan mereka yang berusia di bawah 40 tahun.

Jika dilihat daripada purata umur, rakyat Malaysia puratanya berusia 23 tahun.

Kesungguhan kerajaan dalam membangun dan menetapkan hala tuju pelapis ini jelas termaktub dalam banyak polisi yang diadakan termasuklah Dasar Belia Negara.

Dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) dan Rancangan Jangka Panjang 3 (RRJP3), misalnya, pembangunan belia telah diiktiraf sebagai golongan utama bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan negara mampu dilaksanakan.

Selain menyalurkan peruntukan setiap lima tahun, kerajaan juga meletakkan sasaran untuk menerapkan nilai budaya murni, meningkatkan daya saing dan menyuntik semangat setiakawan dalam menyuburkan semangat perpaduan di negara ini.

Begitu juga perbelanjaan per kapita bagi setiap belia untuk menjalankan program dalam masa setahun daripada RM7.42 seorang pada tahun lalu telah ditambah 55.5 peratus kepada RM11.54 pada tahun ini.

Dari satu segi, memandangkan agenda pembangunan belia merangkumi skop yang amat luas, pelbagai cabaran perlu dan tidak boleh dielakkan dalam menentukan segala objektif yang disusun mencapai matlamat.

Antara cabaran itu termasuklah memastikan kerjasama, sokongan dan komitmen semua pihak dalam memikul tanggungjawab untuk memajukan belia Malaysia.

Pun begitu, segmen komuniti yang perlu dipikul ini tidak akan berjaya sekiranya masyarakat meletakkannya di bahu kerajaan semata-mata tanpa pembabitan umum.

Dalam menuju ke dimensi global, belia juga perlu berperanan dan peka terhadap cabaran luaran yang menuntut kepada tindakan yang paling berani dan bijak.

Dunia sekarang telah dilanda arus perubahan yang amat kencang dalam dunia tanpa sepadan, pelbagai ancaman bentuk baru dikhuatiri boleh mempengaruhi belia.

Ancaman boleh datang dalam banyak bentuk – minda, budaya dan ekonomi yang akhirnya boleh menyebabkan negara terjajah jikalau tersilap membuat perhitungan.

Lihat sahaja pada keangkuhan kuasa barat terutamanya Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya menindas negara Islam.

Pertambahan peratusan bilangan belia sepanjang tahun, memberitahu mereka sebenarnya mempunyai peranan yang sangat besar dalam menentukan masa depan negara perlu berada di mercu kegemilangan.

Menyedari hakikat kemajuan negara terletak di tangan generasi muda, pelbagai program pembangunan belia telah dirancang oleh kerajaan bagi memberi manfaat kepada generasi muda, sejak dahulu lagi.

Tunku Abdul Rahman misalnya, telah menubuhkan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan pada 1964 menggantikan bahagian belia yang diletakkan di bawah Kementerian Kebajikan Masyarakat.

Bagi Tunku, tindakannya itu untuk melihat elemen-elemen kebudayaan, belia dan sukan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara selepas merdeka.

Dalam pasca moden, pelbagai usaha telah dirancang dan dirancakkan semula untuk generasi sekarang yang lebih mencabar.

Akta Belia 2003, dicadangkan untuk membantu memantapkan peranan serta imej persatuan-persatuan belia agar lebih ramai lagi belia dan beliawanis tertarik untuk menyertai persatuan-persatuan belia.

Akta yang dicadangkan itu merangkumi semua aspek termasuk pengurusan, pentadbiran, keahlian dan kewangan.

Pembangunan generasi muda terletak kepada sahsiah, tahap ketinggian ilmu dan jati diri dalam menangani cabaran dunia global yang semakin mencengkam ini.

Kunci kepada pembangunan insan di kalangan generasi muda ialah pendidikan yang berkualiti mengekalkan perpaduan.

Untuk itu, Pra Khidmat Negara juga telah diadakan bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan antara kaum dan membina nilai jati diri serta akhlak yang mulia.

Pra Khidmat Negara lebih menekankan kepada pembinaan nilai dan akhlak serta memupuk semangat perpaduan.

Program ini apabila dilaksanakan akan menyaksikan lebih 450,000 remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun akan terlibat dengannya.

Dalam memastikan suara belia turut memainkan peranan, Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) selaku `Parlimen Belia’ telah melalui penstrukturan semula.

Ia bertujuan memastikan MPBN ditadbir secara lebih proaktif, dinamis dan berkesan.

Malah Kementerian Belia dan Sukan juga telah meminta peruntukan khusus berjumlah RM3 juta bagi tujuan memartabatkan peranan dan keberkesanan majlis itu.

MPBN amat penting bagi menjayakan inspirasi dan martabat masyarakat muda dan merupakan forum tertinggi untuk membahas dan menyuarakan apa jua cadangan.

Ia memainkan peranan memberi teguran kepada semua pihak sebelum penggubalan sebarang dasar dan polisi yang boleh meninggalkan impak kepada pewaris negara.

Langkah itu, membuktikan kerajaan sememangnya bersikap proaktif apabila bersedia mengambil kira saranan pelbagai pihak, sebelum memperkenalkan dasar-dasar baru yang berkaitan dengan masyarakat pelapis.

Menyentuh tentang belia positif, cergas dan lasak, sebuah program pembangunan sosial khusus untuk generasi muda yang menggabungkan aktiviti pembangunan minda, kecergasan fizikal dan pembangunan rohani telah diadakan pada tahun 1994.

Program Rakan Muda yang diperkenalkan menjadi minat generasi muda kerana pendekatannya diasaskan kepada sembilan gaya hidup dan cita rasa golongan muda.

Program Rakan Muda melalui tiga fasa iaitu fasa pengenalan, pembangunan dan pemantapan sebelum ia berakhir pada 2000 dan kembali bernafas sehingga sekarang.

Sembilan gaya hidup – rakan rekreasi, waja diri, cinta alam, sukan, wira usaha/wira mahir, masyarakat, seni budaya, kecergasan dan reka cipta. Di bawa semangat Yakin Boleh!, Rakan Muda menjadi wadah golongan muda meletakkan diri mereka setanding di hadapan.

Setiap kejayaan memerlukan usaha dan pengorbanan – biarpun sejauhmana sekali kecanggihan teknologi dan inovasi.

Inilah yang cuba diterapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad apabila cuba mengikis sikap `tidak yakin’ dan menanamkan sikap jati diri supaya bangsa Malaysia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain di dunia menerusi slogan `Malaysia Boleh’.

Kejayaan terbaru yang amat membanggakan kita ialah apabila perenang marathon negara, Abdul Malik Mydin berjaya merentasi Selat Inggeris sejauh 32.8 kilometer dalam tempoh 17 jam 30 minit, 3 Ogos lalu.

Begitu juga Datuk Azhar Mansor dengan pelayaran solo mengelilingi dunia, penaklukan Everest dan banyak lagi yang dicipta dan mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Dalam sains dan teknologi, negara turut berbangga dengan kejayaan jurutera tempatan dalam sukan Formula Satu (F1) dan terbaru kejayaan menghasilkan satelit kedua Malaysia `Razaksat’.

Malaysia juga menyimpan cita-cita meneroka lebih jauh dalam bidang aeroangkasa dua tahun lagi.

Banyak lagi kejayaan yang telah dicapai oleh negara yang disumbangkan oleh golongan muda, sekali gus membuka mata dunia bahawa Malaysia kini semakin di depan.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_08.htm#ixzz5Ryi65vtq

Leave a Reply