Menyemai Kanak-Kanak Menjadi Pewaris Gemilang

Post Category: umum

Rencana Utusan Malaysia

Oleh Normala Hamzah (Wartawan Utusan)

Kanak-kanak adalah aset paling penting negara dan anugerah yang tidak ternilai harganya kepada ibu bapa. Mereka adalah permata dalam rumah tangga serta harapan masa depan keluarga seterusnya pewaris kegemilangan negara.

Sehubungan itu kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik bagi memastikan generasi ini mendapat perhatian sewajarnya dalam segala aspek.

Di Malaysia 33.2 peratus atau kira-kira 8.6 juta daripada keseluruhan 25 juta penduduk Malaysia terdiri daripada kanak-kanak berusia dari satu hari hingga 14 tahun. Daripada jumlah itu 4.3 juta adalah lelaki dan 4 juta adalah perempuan. Jumlah kanak-kanak perempuan ini merangkumi 32.8 peratus daripada penduduk perempuan negara.

Hari ini, satu perhimpunan besar berlangsung di Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang bagi meraikan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan yang ke-51.

Tema tahun ini, `Sayangilah Kanak-Kanak: Mereka Pewaris Kegemilangan Negara’ kena pada masanya di mana masa depan kanak-kanak negara ini menjadi sebahagian daripada komitmen kerajaan.

Tema ini menekankan keperluan dan kepentingan menghayati dan melindungi hak dan masa depan kanak-kanak sejajar dengan pelbagai perkara yang dinyatakan pada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dengan penekanan kepada empat elemen utama iaitu, Kehidupan, Perlindungan, Pembangunan dan Penyertaan Kanak-kanak.

Sambutan ini merupakan tanda pengiktirafan kerajaan serta masyarakat kepada generasi kanak-kanak. Ia juga membuktikan keprihatinan kerajaan dan masyarakat terhadap kebajikan, masa hadapan dan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.

Sejarah menyaksikan Perayaan Hari Kanak-Kanak Sedunia ini disambut pada tahun 1959 sebaik sahaja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkannya sebagai hari persaudaraan sejagat dan kesefahaman di kalangan kanak-kanak seluruh dunia.

Bermula dengan program pertama pada tahun 1959, sehingga kini, perayaan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan telah disambut pada mana-mana hari Sabtu dalam bulan Oktober.

Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM) telah diamanahkan menganjurkan majlis sambutan tersebut mulai 1960 sehingga 1994. Selepas itu Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) diarah mengambil alih tugas-tugas penganjuran bermula 1995. Di bawah tanggungjawab JKMM sambutan ini telah tujuh kali diadakan, lima kali di luar Kuala Lumpur dan selebihnya di Terengganu dan Pahang.

Usaha membawa sambutan ini keluar dari Kuala Lumpur amat kena dengan hasrat kerajaan membabitkan agensi kerajaan dan bukan kerajaan di peringkat negeri dalam sambutan yang cukup bermakna ini.

Sambutan ini diraikan oleh 150 negara di seluruh dunia. Di Malaysia, sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia ini dianggap sebagai hari pengiktirafan kepada semua kanak-kanak di mana semua orang dewasa menunjukkan komitmen mereka kepada kanak-kanak yang bakal mewarisi negara ini.

“Sebagai pewaris yang merangkumi hampir separuh daripada penduduk negara, kanak-kanak perlu diutamakan dalam semua aspek kehidupan, dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan eksploitasi yang menggugat kesejahteraan hidup mereka sepanjang masa,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut Shahrizat sesuai dengan tema sambutan yang dipilih, kerajaan akan memberi komitmen jitu terhadap memenuhi peruntukan dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang diterima pakai di negara ini pada tahun 1995.

“Setiap kanak-kanak berhak menjalani kehidupan yang sejahtera, mendapat perlindungan daripada gejala negatif serta dilibatkan dalam pembangunan yang menyeluruh serta perancangan dan penentuan dasar yang membabitkan kepentingan mereka,” tambah Shahrizat.

Shahrizat juga menegaskan setiap insan yang bergelar kanak-kanak juga perlu disediakan dengan persekitaran yang mesra, hak untuk menikmati taraf kesihatan yang baik, pendidikan yang sempurna dan persekitaran sosial positif serta tidak ketinggalan dalam arus perdana pembangunan negara.

“Semua pihak harus memikul tanggungjawab memastikan kanak-kanak di negara ini terjamin masa depan mereka bukan hanya perlu dilakukan oleh ibu bapa dan golongan pendidik sahaja,” jelas Shahrizat.

Sehubungan itu, Shahrizat berkata, bidalan melentur buluh biarlah dari rebungnya elok dijadikan panduan dalam memenuhi tanggungjawab ini.

Ini memandangkan persekitaran sosial yang terdedah kepada perubahan semasa menuntut generasi kanak-kanak ini diberi perlindungan dan didikan dengan sistem nilai yang positif serta ilmu pengetahuan sejak di peringkat usia muda lagi.

“Perwatakan dan sifat mulia seseorang individu mula terbentuk semasa kecil lagi. Nilai yang dipupuk ke dalam diri dan pengalaman sepanjang tempoh pembesaran kanak-kanak ini cukup penting kerana ia akan menentukan hala tuju mereka apabila dewasa kelak,” tambahnya.

Sehubungan itu semua pihak khususnya ibu bapa perlu menyemai kanak-kanak hari ini dengan kasih sayang, dibekalkan ilmu dan disiplin tinggi supaya mereka membesar menjadi warga Malaysia berperibadi mulia.

“Saya pasti jika generasi kanak-kanak hari ini dibentuk dengan sempurna, mereka tidak akan menghampakan kita dan semestinya mereka akan menjadi generasi terbilang dan mampu memelihara dan meletakkan negara di tahap yang lebih gemilang,” tambahnya.

Jika pada masa lalu, tokoh kanak-kanak dipilih dan dianugerahkan Pingat Hang Tuah, sambutan pada hari ini bakal menyaksikan tokoh kanak-kanak akan menerima anugerah sebagai pengiktirafan kepada peranan dan kejayaan yang telah mereka capai.

Antara anugerah yang bakal diberikan adalah Tunas Jaya Kebangsaan – hadiah utama yang mengiktiraf kanak-kanak yang cemerlang dalam pencapaian akademik, kokurikulum, kepimpinan, sahsiah serta motivasi diri. Dua penerima anugerah ini, lelaki dan perempuan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala pusingan, trofi iringan serta hamper.

Anugerah kedua Kanak-Kanak Khas Terbaik Kebangsaan yang akan diberikan kepada lima kanak-kanak kurang upaya penglihatan, pendengaran, permasalahan pembelajaran, terencat akal dan spastik (juga untuk lelaki dan perempuan). Mereka akan menerima wang tunai RM1,500, trofi iringan serta hamper.

Semangat Gemilang pula merupakan anugerah yang diberikan kepada kanak-kanak yang berjaya dalam kehidupan walaupun mereka dihimpit pelbagai masalah seperti kemiskinan, kesusahan dan sebagainya.

Anugerah ini juga akan diberikan kepada lelaki dan perempuan. Penerima akan membawa pulang RM1,500, trofi iringan serta hamper.

Sementara Anugerah Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Terbaik Kebangsaan akan membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta piala pusingan, trofi iringan serta hamper. Anugerah diberikan sebagai penghargaan di atas sumbangan, jasa serta kerjasama pasukan ini membantu kerajaan menganjurkan program pencegahan serta pengiktirafan kepada peranan yang mereka mainkan.

Kepada seluruh kanak-kanak Malaysia, selamat menyambut Hari Kanak-Kanak Sedunia dan semoga menjadi pewaris negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm#ixzz5RymtdF83

Leave a Reply